Malam lalu aku mengemas laci almari, mencari resit-resit pembelian barang Sciencess untuk aku masukkan dalam laporan kewangan. Sedang mengemas, aku terjumpa sekeping sampul kecil buatan tangan, berwarna jingga terang. Tercatat namaku besar di tengah-tengah muka sampul itu: Inche’ Adhamerudin Omar. Aku buka sampul itu, di dalamnya ada dua keping kad yang kecil dan comel, tersemat rapi dalam sekeping card holder berbentuk bulat, sebijik macam poket Doraemon. Di bahagian hadapan card holder itu pula terlakar avatar wajahku yang dilukis dengan pensil, cantik dan kemas, seperti lakaran seorang professional. Aku keluarkan kad-kad kecil yang comel itu. Aku belek satu per satu, lantas tersenyum sendirian. Aku menghela nafas panjang, terharu dengan kad ucapan selamat hari lahir sempena hari lahirku yang ke-21 itu. Ucapan dan nasihat yang ringkas, pada kad yang kecil molek, tetapi mempunyai makna yang sangat besar. Aku memasukkan semula kad-kad tadi ke dalam poket Doraemon itu dan memasukkan semula poket Doraemon itu ke dalam sampul jingga. Terdetik di hatiku, akan aku simpan kad ucapan ini baik-baik, kerana ini sangat bermakna buat aku. Aku menutup sampul surat itu. Di belakang sampul itu tercatat: HAKCIPTA TERPELIHARA 2010 -Suraya MS & Nurul Athirah-
Aku tersenyum lagi, terima kasih kak Sue, terima kasih kak Tirah, kerana menjadi kakak yang baik buat aku. Terima kasih ya Allah kerana telah memberi peluang untuk aku mengenali dan bersilaturrahim dengan insan yang baik-baik, seperti mereka ini. Lantas aku terkenang pada suatu peristiwa, juga berlaku pada tanggal hari lahir aku, suatu ketika dulu. Tahun berapa, aku sudah lupa, yang pasti, aku masih berada di bangku sekolah rendah pada waktu itu. Pagi itu Mama menghadiahkan aku sesuatu. Bentuknya panjang, dibalut kemas dengan kertas pembalut. Aku sangat gembira lantas membuka pembalut itu dengan gopoh dan gelojoh, sambil menjerit keriangan. Tiba-tiba barang kaca yang dibalut itu terjatuh. Tidak sempat untuk aku menggenggamnya. Pecah. Aku terdiam, terkedu, kelu.
“Awat Amin?” suara Mama kedengaran dari dapur.
“Ma.. pecah..” jawabku dengan nada sedih.
Aku sebenarnya takut Mama akan marah pada aku. Tetapi rupa-rupanya Mama tak marah pun, Mama lebih risau kalau aku terpijak serpihan kaca itu. Begitulah murninya kasih ibu. Mama membersihkan serpihan kaca daripada hadiah yang baru sahaja diberi kepadaku. Aku merasa sangat terkilan pada waktu itu, kerana tidak menjaga hadiah pemberian Mama itu baik-baik.
Aku kembali dari lamunan. Terharu mengenangkan betapa pantasnya masa berlalu, dan kini aku sudah dewasa. Zaman kanak-kanak yang suatu ketika dahulu penuh dengan warna-warna indah, kini terlakar sebagai episod-episod sejarah dalam hidupku, yang pastinya tidak akan pernah aku lupakan. Begitulah hari lahir akan selalu mengingatkan kita, tentang masa yang cepat berlalu. Setiap tahun, pasti ada yang mengingatkan kita bahawa usia kita sudah meningkat. Bezanya antara kita, ada yang sedar, ada yang lalai. Ada yang terlalu asyik dan bermegah dengan hadiah-hadiah mewah pada hari lahirnya, dan ada juga yang risau memikirkan persiapan dan bekalan untuk hari Akhirat. Semoga kita sentiasa berada dalam golongan yang kedua itu. Dalam meniti kedewasaan dan mengiringi rembulan dan mentari yang silih berganti ini, aku berdoa agar akan sentiasa diberi kekuatan untuk terus berusaha menggapai redha Allah, mencari nur hidayahNya dan menjadi khalifah seperti yang diinginkanNya di bumi persinggahan ini. Semoga kita tidak akan pernah jemu menuntut ilmu, dan tidak akan pernah jemu menimba pengalaman. InsyaAllah.
SubhanALlah.. penulisan adha makin mantap, teruskan menulis akhi~ teringin selalu membaca hasil tulisan yg macam ni ^_^
ReplyDeletenice entry beb!!ak tetiba rindu ibu aku bila baca cite ko ni..huu
ReplyDeleteadeh, Rizqan.. jangan dipuji, nnt kampang, siapa nk nanggung.. heheheh.. btw, terima kasih~
ReplyDeleteain, rindu ibu selalu, tanda kasih tiada berbelah bagi.. =)
Adha , aku sebak baca post ni ..aku doakan hang tenang & bahagia di negeri " sana " sahabatku ..hang dah banyak tolong aku..
ReplyDelete