Saturday, August 13, 2011

Kembara Berakit Antarabangsa Sungai Pahang 2011

Tudia...tudia..tudia!! Dah dekat sebulan barulah aku berkesempatan untuk tulis pasal Kembara Berakit nih. Program yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang ini telah berlangsung selama 6 hari bermula 8 Mei sehingga 13 Mei 2011.

Alhamdulillah, aku berjaya mengumpulkan kawan-kawan yang sehati, sejiwa dan sekepala untuk mengikuti program ini. Memang tak semua orang memandang program sebegini sebagai sesuatu yang berfaedah. Berjemur tengah panas sampai hitam, berendam dalam sungai sampai kembang, peluh, penat, arus deras, risiko lemas, binatang dalam sungai, arggggh...semualah! Baik pergi shopping mall, tengok wayang, main bowling, facebook atau kalau nak aktiviti air, pergi je water park!
Ye ke macam tuh? 
Tak! Bagi aku, program ini sangat istimewa dan peluang menyertainya adalah satu peluang keemasan yang tidak wajar dilepaskan. Melalui program nih, aku berpeluang merasai pengalaman menghilir sungai dengan rakit buluh tradisional. Warisan budaya, khazanah berharga yang bukan mudah untuk aku menikmatinya pada zaman serba moden nih. Cuba bayangkan, tiba-tiba aku nak pergi cari buluh, ikat-ikat buat rakit, hias lawa-lawa, lepas tuh, menghilir sungai sorang-sorang. Mesti orang ingat aku nih dah gila kan..?

Pada aku program nih memainkan peranan yang sangat penting dalam mewariskan budaya dan tradisi masyarakat terdahulu kepada generasi muda, supaya ia tak hilang ditelan zaman. Aku pun rasa bangga dan sangat bertuah dapat join program nih. Kalau nanti anak-anak aku tanya.. "Berakit tu macam mana.. ayah?", aku dah ada bedtime stories untuk diorang. Jadi tahniah kepada pihak penganjur atas usaha gigih mereka menganjurkan program ini. 

Ok, jom citer pasal rakit UIA pulak!

Alhamdulillah, tahun nih Bro. Asri masih bersetuju untuk menghantar 2 team (tanpa extra). Maksudnya memang cukup-cukup 12 orang lah sebab satu rakit tu maksimum 6 orang je boleh naik. Semestinya kesemua 12 orang itu dari Adventure & Recreational Club (ARC) Kuantan lah, siapa lagi yang berani menyahut cabaran berakit nih kan? Heheh.. Mereka ialah Khairul Akmal, Zul Fahmi, Hazwan Hazali, Ezuan, Akim, Asila, Payya, Ziya, Elin, Mira, Liyana dan aku sendiri.

Kami telah berkampung di UIA sejak 2 Mei untuk latihan dan persiapan teknikal. Memang banyak kerja yang nak dibuat, nak buat paddle lah, bumbung lah, tiang lah, langsir lah, latihan kayak lah, jogging lah, itu lah, inilah.. macam-macam. 6 hari yang diperuntukkan terasa sangat singkat.

Mula-mula, kami menyiapkan design rakit, lepas tuh barulah tentukan barang apa yang nak dicari dan barang apa yang nak dibeli. Bumbung, pagar dan tiang, semuanya menggunakan buluh. Apa lagi, kami pun masuk ke hutan di belakang Mahallah perempuan dalam UIA untuk mencari buluh. Cari punya cari, tak jumpa. Kami pun keluar dari hutan dengan rasa kecewa. Lepas tuh baru ternampak, rupa-rupanya kat belakang Mahallah Talhah 4 tuh ade banyak rumpun buluh. Tapi buluh kuning lah, buluh yang biasanya dibuat hiasan. Bukan buluh hijau yang kuat tuh. Oleh sebab tiada pilihan lain, kami ambik jelah buluh kuning tuh. Tebang punya tebang, sampai maghrib baru selesai. Buluh-buluh tuh kami kumpulkan kat dalam O.R. kami iaitu Female Gym, CF Sister. Fuhhh, ade O.R!! Heheh.

Alamak, dah hampir pukul 1 nih. Aku terpaksa stop dulu. Malam nanti, lepas balik dari kerja, aku akan sambung. Heheh. InsyaAllah.



Inilah post terakhir dari arwah abang aku Mohd Adhamerudin/Pengemudi Layang-Layang. Hari nie tiba-tiba je aku rasa nak buka draft post nie, rupa-rupanya beliau tak sempat nak publish post nie..so, aku tolong post cerita yang arwah nak sampaikan kat sini untuk kita.  Semoga arwah sentiasa berada dalam keadaan baik di sana.. Al-Fatihah.... -- by Ariez Muhammad

Sunday, May 1, 2011

Lumrah Kehidupan

 
Lumrah berkasih, pasti ada pasang surutnya. Lumrah bercinta, pasti ada kecewa dan bahagia. Buat yang bahagia, semoga terus bahagia. Buat yang kecewa, usah terpuruk kerana cinta, kerana...

كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلۡقِتَالُ وَهُوَ كُرۡهٌ۬ لَّكُمۡ‌ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ خَيۡرٌ۬ لَّڪُمۡ‌ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ شَرٌّ۬ لَّكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ
 (سُوۡرَةُ البَقَرَة ,٢١٦)

" Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan), sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. "

Dan usahlah merasa berat menanggung dugaan itu, kerana..

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَا‌ۚ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَيۡہَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡ‌ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَآ إِن نَّسِينَآ أَوۡ أَخۡطَأۡنَا‌ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَيۡنَآ إِصۡرً۬ا كَمَا حَمَلۡتَهُ ۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِنَا‌ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦ‌ۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَآ‌ۚ أَنتَ مَوۡلَٮٰنَا فَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡڪَـٰفِرِينَ
( سُوۡرَةُ البَقَرَة,٢٨٦)

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, dan berilah rahmat kepada kami, dan beri Penolong kami oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".

"Apabila cinta ada di hati yang satu, pasti juga cinta itu ada di hati yang lain, kerana tangan yang satu takkan bisa bertepuk tanpa tangan yang lain"
~Maulana Jalaluddin Rumi Muhammad bin Hasin al Khattabi al-Bakri~

Hidup mati jodoh pertemuan, semuanya di tangan Dia. Cinta itu, satu hari nanti, pasti akan tiba.

Sunday, April 24, 2011

Puncak Yang Pernah Aku Tawan

Hidup ini seperti sebuah pendakian. 
Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin mengatakan, orang yang hidup itu seperti sedang mendaki gunung, dia akan melalui bahagian-bahagian dalam hidupnya sepanjang pendakian. Malah, dia akan menghadapi halangan, dugaan, kesesakan dan juga kesukaran. Apa yang perlu ialah kekuatan, iman untuk menjadi kompas hidup yang sentiasa memandu arah pada landasan yang betul, kebergantungan yang utuh kepada Allah serta kepatuhan hidup yang ditetapkan olehNya.

Oktober 2004 - Program Selepas PMR, Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa

Ogos 2005 - International Inter-cultural Exchange Programme

Januari 2010 - Adventure and Recreational Club IIUM Kuantan

March 2010 - Latihan persediaan mendaki Gunung Kinabalu, ARCIIUM Kuantan

April 2010 - Adventure and Recreational Club IIUM Kuantan

March 2011 - Adventure and Recreational Club IIUM Kuantan

Aku seorang Lifesaver

Kursus Penyelamat Kelemasan Malaysia (Bronze Medallion) 
vs 
Ekspedisi Gunung Chamah-Ulu Sepat 2011

Aktiviti mendaki gunung telah menjadi kegemaranku sejak dibangku sekolah menengah. Kenapa? kerana ketika disekolah dulu aku sering dilabel sebagai mandom, budak skema, budak study. Aku tak pernah melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Aku tak pernah turun main bola sepak ketika sesi riadah. Muka-muka ponteng kelas PJK. Muka-muka yang selalu kena didenda mengemas stor. Muka-muka yang selalu buat alasan demam, selesema dan sebagainya. Itu aku. Itu semua aku. 

Kemudian, apa kaitannya dengan mendaki gunung? Bila mendaki gunung, aku rasa senang. Aku rasa tenang. Aku rasa itu dunia aku. Aku boleh melupakan semua masalah yang membelenggu di bawah sana. Aku boleh melupakan semua kesibukan yang membebankan fikiran. Tetapi kali ini, aku terpaksa memilih antara ekspedisi mendaki gunung dengan kursus menjadi seorang lifesaver, kerana kedua-dua nya jatuh pada tarikh yang sama. Beberapa kali juga aku fikir, betul ke keputusan aku nie. Fikir..fikir..fikir.. Okay, aku pergi Lifesaver course, aku tak pergi Chamah-Ulu Sepat. That's it!

Aku sendiri pun tak tahu apa yang mendorong aku mengambil keputusan itu, tetapi aku sedih kerana tidak dapat mendaki bersama sahabat-sahabat ARC yang lain, yang pernah dulu kami berikrar untuk mendaki Chamah-Ulu Sepat bersama-sama. Tambahan pula pendakian ini adalah cadangan aku sendiri, kerana aku memang betul-betul mengidam untuk mendaki Chamah-Ulu Sepat. Aku sedar, dengan keputusan ini, aku mungkin masih boleh mendaki Chamah-Ulu Sepat pada masa akan datang, tetapi aku tidak mungkin boleh mendaki Chamah-Ulu Sepat bersama mereka lagi. Aku biarkan doa mengiringi perjalanan mereka ke sana. Dan kubiarkan mimpi membawaku mendaki bersama mereka. 

Aku di Kuantan, mengikuti Kursus Penyelamat Kelemasan Malaysia (Bronze Medallion) di Kolam Renang Wisma Belia, Indera Mahkota. Aku melangkahkan kaki ke kursus ini dengan tangan kosong. Tidak ada research di Internet tentang bagaimana latihannya. Tidak ada rough idea tentang bagaimana ujiannya. Tidak ada. Aku membayangkan ia adalah sesuatu yang senang and I would be able to handle it! 

Ternyata percaturan itu salah. Setiap kali permulaan latihan, kami disuruh warm up 400m freestyle. Tercungap-cungap, nafas tersekat-sekat, tersedak-sedak, terbatuk-batuk. Begitulah keadaan aku sepanjang sesi latihan. Terminum air tak payah cakaplah, memang banyak. Adakalanya aku rasa menyesal. Aku rasa aku telah membuat pilihan yang salah. Aku rasa air bukan tempat aku. Aku merindui sahabat-sahabat yang sedang mendaki gunung. Aku betul-betul ingin bersama mereka.

Namun aku tidak dapat mengubah apa-apa lagi. Aku hanya menurut segala apa yang ditetapkan dalam kursus itu, sekadar yang termampu. Aku berserah pada Allah, seandainya lulus, itu rezeki untukku, seandainya tidak, tidak mengapa, aku mohon dilapangkan dada untuk redha dengan takdir itu. Lalu dengan semangat yang masih tersisa, aku berpegang pada prinsip alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Perkara lain yang diuji dalam kursus itu:

Melakukan CPR dengan teknik DRABC.

Menyelamat dengan menggunakan pakaian.

Menyelamat dengan menggunakan tali.

Dengan berpakaian lengkap, masuk ke dalam air yang tidak diketahui, berenang 50m mendapatkan mangsa, tenteramkan mangsa, dekati mangsa dari belakang, dan tunda mangsa dengan cara chin-tow atau cross-chest dengan kemahiran mengundur sejauh 50m. 

Berenang sejauh 25m, menyelam dan cari objek pada kedalaman 1.8m, kemudian tunda mangsa sejauh 25m.

Menyelam sejauh 25m dibawah air. 

Straddle jump .
 
Menunjukkan cara melepaskan diri di dalam air.

Alhamdulillah, setelah segala susah payah diharungi, rezeki memihak kepada kami. Kesemua 6 lelaki dan 2 perempuan yang mengikuti kursus ini lulus. Ketika itu aku merasakan betapa agungnya Dia yang telah mengakhiri kisah ini dengan memberikan khabar gembira. 

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan" 
 (Surah al-Insyirah, 5-6)










Ini semua gambar yang diambil selepas tamat kursus. Sebab itulah semua orang nampak happy. Heheh. Chamah-Ulu Sepat? Tak mengapa, takdir telah tertulis sebegitu, pasti ada hikmah disebalik segala yang berlaku. Walaupun aku tidak dapat mendaki bersama sahabat-sahabat ARC, aku tetap boleh menumpang kegembiraan mereka, rasa bangga mereka, rasa puas mereka.. kerana jiwa kami sememangnya begitu.

Saturday, April 23, 2011

Nota - Nota Lilag

Hidup ini adalah keyakinan dan perjuangan.. Perjuangan mukmin sejati tidak akan terhenti, kecuali kedua tapak kakinya telah menginjak pintu syurga.. (Imam Hanbali)

Itulah kata-kata yang tercoret pada kad ucapan selamat hari lahir daripada sahabat-sahabat sekelas aku yang menggelarkan diri mereka The League of Indomitable Ladies and Gentlemen (LILAG). Terima kasih sahabat-sahabat semua. Nampaknya tahun ini aku menerima kad ucapan empat bulan lebih awal daripada tarikh yang sepatutnya. Semuanya gara-gara cuti panjang yang diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang bertujuan menyelaraskan kalendar akademik IPTA seluruh Malaysia.

Seperti biasa, the LILAG mengadakan majlis perpisahan setelah tamat peperiksaan akhir semester, pada 16 April yang lalu. Alhamdulillah, Allah masih mengurniakan nikmatNya yang kabir, iaitu ukhuwwah untuk kami sama-sama berkumpul dan mengeratkan lagi persahabatan dan persaudaraan ini. Majlis pada malam itu sungguh istimewa kerana aku dinobatkan sebagai penerima 'anugerah' The Sleeping Beast!! Bunyinya teruk, tetapi aku suka, malah aku turut mengundi diriku sendiri sebagai calon The Sleeping Beast. Heheh, sememangnya aku mudah mengantuk dan terlelap lebih-lebih lagi apabila berada di dalam kelas. Erm, ada lagi yang lebih istimewa, iaitu Nota Cinta Lilag. Pada tahun ini, aku mendapat 24 nota cinta. Ini bermakna ada 12 orang sahabat yang tidak ingin mengatakan sesuatu buat aku. Tidak mengapa, aku kira mereka pasti tidak mempunyai sebarang masalah atau rasa tidak puas hati yang ingin diluahkan. Ingin tahu isi kandungan nota-nota cinta yang aku terima?

"Hanya anak yang baik akan menjadi ayah yang baik, belajarlah menjadi pengikut sebelum menjadi pemimpin, kerana benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau.."

"Ko sengal... hahaha goodluck dalam ape jua yang ko buat, cuti jangan buat pelik-pelik, isi dengan benda bermanfaat ye.."

"All the best in everything that you do.."

"Goodluck and happy holiday!!"

"Adha, mintak maaf banyak-banyak segala salah silap sepanjang kita kerja sekali.. Thanks a lot sebab dah banyak menbantu, hope boleh improvekan chemistry tu.. hehe.. tapi apa-apa yang adha tak puas hati, habaq terang-terang na.."

"Jadilah rijal dengan kaki berpijak di bumi, namun cita-cita tergantung di langit nan tinggi, all the best in life!!"

"All the best!! Hepi holiday!!"

"Bonnes vacances Adha"

"Rajin bekerja... kot~ Baik.. Thanks and sorry for everything.."

"Versatile + macho + anything + ...you ROCK dude! haha.. Epitome for our class, be a good man, all the best, thank you for being a good friend of mine since we met (I think 2002) I really appreciate it, happy holiday"

"Adha..(hantu pintu) Nice knowing you.. semoga ukhuwwah kita semakin hari semakin kuat.. Alhamdulillah kita berjaya harungi semua dugaan yang lepas, harap-harap semua tu takkan jadi lagi.. BFF forever, dah sedia nanti bagitau aku siapa pelangi itu... (aku da tau da tapi..hehe) "

"Hey hey hey hey!! No doubt you are a good person, a good friend indeed. Thanks a lot. Sorry if I did something that hurting you. I never meant to. Have a blast holiday, dear!! Please take care of yourself!"

"Live each day as if there was no tomorrow!"

"Namanya banyak rimas sekali, budak ARC kebanggaan kami, Adhamerudin kacak sekali, banyak character susah nak selami. Selamat maju jaya di dunia dan akhirat.."

"Hye hensem!! Alamak ..sorry la tulisan buruk.. tak sempat tulih lawa-lawa.. Firstly, terima kasih banyak-banyak atas segala bantuan yang pernah diberi.. (ade ke?) Pastu saya nak mintak maaf if ada salah silap sengaja / tak sengaja.. sedey ar ko tak g chamah.. (mesti dapat agak siape aku kan?) Papepon.. jom have fun rakit and kayak nie.. TQ for being my friend.. Happy holiday and all the best for next sem.."

"Hye Adha.. Selamat bercuti!! Selamat naik gunung!! Selamat berakit!! Annyeong~"

"Thank you for the last sem(s) and this too. Quite rare to find a good person like you.. Good luck in your studies, life saver things and remaining SCIENCESS things too. Happy holiday.."

"Selamat bercuti, selamat pulang dan selamat kembali. P/s: Ampunkan salah silap, halalkan hutang-hutang."

"Udin Oh Udin!! Who's that pokemon hah?? Pelangi...pelangi.. (ada lukisan pelangi) is it pelangi?? cecite..cecite..."

"Usia yang tersisa, gunakan untuk buat perkara yang berfaedah.. Maaf atas segalanya."

"Adha~ Best dapat kenal ko and dpt jadi kawan ko..!! Ko memang a very good friend.. Hope kita stay as friend sampai bila-bila..anyway, happy holiday!! and selamat berakit bersama-sama nanti.. haha jom hitamkan diri haha.."

"Hai Adha!! Best kenal dengan kau.. tapi kau selalu bizi.. Muahaha.. Dah tak selalu hang out dengan ko.. Selalu-selalu lah angkat phone ngan reply mesej.."

"Naik gunung elok-elok!! Isikanlah cuti anda dengan kerja-kerja berfaedah.. Jangan duk prank orang ja.. haha all the best!! Go Lilag!!"

"Payoh benor kalo nak tunggu ko reply msg or angkat call.. Lambat seyhh.. Hepi holiday.. Nanti jadi lifesaver kitowang eh.. huhu"

Terima kasih. Terima kasih semuanya. Sahabat, aku menyusun sepuluh jari, dengan rendah dirinya memohon maaf seandainya kesibukan itu telah menenggelamkan aku jauh daripada sahabat-sahabat sekalian. Sungguh aku ingin persahabatan atau persaudaraan atau ukhuwwah atau apa saja nama yang menggelarkan hubungan kita ini berkekalan dan makin erat, makin erat, makin erat.

Ukhuwwah atau persaudaraan ini merupakan nikmat yang bermula dari keteguhan iman dan ketakwaan, lalu melahirkan perasaan kasih sayang yang mendalam, rasa saling mempercayai dan menghormati. Dari situ lahirnya keikhlasan yang tidak tolok bandingnya, untuk saling berbakti, saling membantu, berkasih sayang dan memaafkan. Sesungguhnya tidak akan ada ukhuwwah tanpa iman dan takwa dan begitu juga sebaliknya.  

Rasulullah S.A.W bersabda :
" Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri ". 

( Riwayat : Bukhari & Muslim )
Salam ukhuwwah, selamat bercuti, selamat bertemu kembali.

Saturday, April 16, 2011

Selepas Peperiksaan

Yeahhh. Hari ini aku rasakan seperti telah mendapat kehidupan sebenar aku semula. Semalam dapat hang out dengan kawan-kawan, dapat borak lama-lama, dapat makan sama-sama.

Tenang.
Aman.
Gembira.


Terima kasih kepada Jepah Cukelat, Aliaa Yazid, Kak Moja, Iza, Helmi, dan Wani. Kenangan makan steamboat insyaAllah akan tersemat dalam ingatan. Semoga geng pemberontak ini dapat reunion lagi pada masa akan datang. Terima kasih juga kepada Kak Tirah, Kak Sue, Nasir, Wan, Mizan, Akim, Awe dan Ijan. Seronok dapat menghabiskan masa bersama kalian semua. Moga mawaddah sentiasa mekar dijambangan ukhwah.

Keadaannya sungguh berbeza selepas tamat peperiksaan akhir semester 2 2010/2011. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Syukur yang tidak terhingga aku rafakkan ke hadrat Ilahi, kerana diberi kemudahan, dikurniakan ketenangan dan dianugerahkan ilham sepanjang tempoh berkabung menjawab peperiksaan. Moga-moga ada rezeki buatku untuk tersenarai dalam Dean's List. Perasaan teruja memuncak dalam diri memandangkan aku berjaya memungut Carry Marks yang tinggi dalam empat daripada enam subjek yang aku ambil pada semester ini. Okay, tipu. Semuanya berada pada paras bahaya, sebenarnya. Aku hanya mampu berharap agar peperiksaan akhir ini dapat menyumbang kepada markah lulus. Aku tidak mahu fail. Ya, aku tidak mahu fail. Okay, apa kata kita lupakan dulu soal peperiksaan? Mari kita meraikan kejayaan menamatkan semester ini dengan BBQ!!

Monday, March 21, 2011

Kisah Sang Pelangi

Kumeniti awan yang kelabu
Kutempuhi lorong yang berliku
Mencari sinar yang menerangi
Kegelapanku

Kupercaya pasti suatu masa
Sang suria kan menyinar jua
Membawa harapan yang menggunung
Bersamanya

Engkau tiba bagaikan pelangi
Tak bercahya namun kau berseri
Tapi cukup menghiburkan
Hati ini

Seharian waktu bersamamu
Tak terasa saat yang berlalu
Bagai pelangi petang kau kan pasti
Pergi jua

Pelangi merupakan fenomena alam yang cukup indah, hasil daripada pembiasan cahaya matahari, sumber cahaya yang sebenarnya mengandungi banyak warna. Maha suci Allah yang menciptakan langit dan bumi, serta segala yang ada diantaranya. Munculnya pelangi mengujakan setiap mata yang memandang, membingkiskan senyuman, mengusik perasaan dan pastinya membuatkan kanak-kanak menjerit keriangan. Namun seperti yang pernah dialunkan merdu oleh Allahyarham Sudirman dalam lagunya, hadir sang pelangi hanya sementara, persis seperti kehidupan ini, bersifat sementara. Pun begitu, hadirnya sang pelangi akan sentiasa dinanti, terbitnya akan sentiasa membeliakkan kelopak mata yang sendu, gemilang sinarnya akan sentiasa melebarkan bibir yang lesu, dek kerana keindahan, kedamaian dan ketulusan yang dipancarkannya, tiada tolok bandingnya.  

Sebenarnya ada yang tersirat dalam penceritaanku tentang pelangi ini. Sang Pelangi yang aku kenal, seorang yang cukup periang. Pada wajahnya akan sentiasa terukir sebuah senyuman yang tulus dan mampu membuatkan orang lain turut tersenyum. Pandangannya sentiasa membisikkan sesuatu, yang terkadang sukar untuk ditafsirkan. Peribadi molek yang ditunjukkan membangkitkan rasa kekaguman. Seperti pelangi petang, aku kira dia juga membawa keindahan, kedamaian dan ketulusan. Kehadirannya dalam hidupku adalah sesuatu yang sangat bermakna. Aku benar-benar mengagumi Sang Pelangi ini. Ya, kagum. Aku kira ia sekadar sebuah kekaguman, dan mungkin penghormatan. Harapanku, agar kekaguman ini tidak akan pernah menggugat nilai cinta yang aku serahkan pada Tuhanku, dan aku tidak akan sekali-kali membiarkan Dia cemburu akan Sang Pelangi ini, kerana aku dan Sang Pelangi ini, kedua-duanya adalah milikNya.

Sejauh manakah kisah aku dan Sang Pelangi ini? Biarkan saja angin bayu Indera Mahkota menceritakannya.